8 May 2017

Cara Mengendalikan Susu Ibu ketika Balik Kampung

Memang susu perahan yang beku lebih sukar untuk dikendalikan kerana kita perlu memastikan susu perahan tersebut kekal beku sepanjang perjalanan sehingga tiba ke destinasi. Namun begitu agak sukar untuk mendapat bekas penyimpan sejuk yang mampu mengekalkan suhu beku seperti di dalam freezer di rumah kita.

Apabila susu perahan yang beku telah mencair dalam perjalanan tersebut, mahu tidak mahu kita terpaksa akur bahawa susu perahan itu TIDAK BOLEH dibekukan semula dan perlu digunakan dalam tempoh 24 jam. Agak malang jika kuantiti susu sangat banyak berbotol-botol…. adalah mustahil untuk menghabiskannya dalam tempoh tersebut. Jika di habiskan maka tiadalah stok untuk bayi untuk hari-hari seterusnya….

Apa yang boleh saya cadangkan dalam kes puan ialah susu perahan yang dibawa dalam perjalanan adalah SUSU PERAHAN SEJUK bukan susu perahan beku. Susu perahan sejuk lebih mudah dikendalikan.


Gunakan ice pack yang tahan sejuk lebih lama yang sesuai untuk jarak perjalanan tersebut. Jika ice pack mencair tukarkan dengan ice pack baru yang masih beku. Alternatif lain yang boleh digunakan jika tiada ice pack tambahan ialah beli ketulan-ketulan ais di kedai makan atau R&R untuk mengekalkan suhu sejuk di dalam bekas penyimpan susu.
Ini bermakna stok susu ibu yang disimpan terdiri daripada susu perahan sejuk sahaja. Bolehkah?
Soalan saya… adakah puan balik kampung untuk menghantar susu perahan setiap minggu? Jika jawapannya YA, maka puan tidak perlu menyimpan susu dalam keadaan beku. Susu perahan boleh disimpan dalam bahagian sejuk biasa dari hari Isnin sehingga Jumaat.
Bagaimana ya? Semestinya puan akan memerah susu setiap hari bekerja bermula dari hari Isnin sehingga Jumaat/Sabtu. Susu yang diperah pada hari Isnin boleh disimpan di dalam peti sejuk (bahagian sejuk biasa) tidak perlu dibekukan. Susu perahan yang disimpan di bahagian sejuk biasa tahan sehingga 5-7 hari . Ini bermakna menjelang hari Jumaat susu perahan itu baru disimpan 4 hari maka ia masih boleh dibawa dalam keadaan sejuk biasa hingga ke kampung. Apabila tiba di kampung, gunakan susu yang paling awal diperah dahulu, iaitu susu hari Isnin. Jika stok hari Isnin itu sangat banyak, barulah puan simpan di dalam bahagian beku (freezer) untuk memanjangkan tempoh hayatnya. Oleh itu tidak perlu menyimpan stok susu beku jika puan balik menghantar susu setiap minggu.
Pastikan susu perahan dikendalikan dengan tahap kebersihan maksima semasa sesi perahan dan penyimpanan. Pastikan dilabel dengan tarikh. Boleh juga gunakan buku log untuk merekod hasil perahan setiap hari supaya mudah mengendalikannya apabila tiba di kampung.
Harap penjelasan ini dapat membantu!